Monday, January 18, 2010

Betulkan Tanggapan Anda Tentang Duit

Betulkan Tanggapan Anda Tentang Duit
“Sebenarnya DUIT tak penting, tapi yang penting bagi saya ialah kebahagian”. Itulah ungkapan yang biasa kita dengar dari sesetengah golongan masyarakat kita. Jika diteliti balik memang duit itu BUKANLAH SEGALA-GALANYA tapi SEGALANYA MEMERLUKAN DUIT.

Manusia seringkali tersilap bila memikirkan tentang duit. Di atas kesilapan inilah yang menyebabkan kita selalu tak dapat DUIT yang kita harap-harapkan itu.

Tahukah kita bahawa duit itu merupakan energy/tenaga. Ia bukan penyebab keadaan tetapi ia adalah pelengkap keadaan. Contohnya, duit tidak memberi kebahagiaan pada manusia, tetapi dengan adanya duit manusia itu dengan sendirinya merasa bahagia, merasa cukup, merasa selesa, merasa nyaman dan dengan adanya duit itu juga semua manusia akan mampu tersenyum dan berbaik baik sesama sendiri. Tiada rasa iri hati, tiada rasa tertindas, tiada rasa kecewa. Semua orang akan saling hormat menghormati, masing masing berlumba-lumba untuk berbuat kebajikan. Alhamdulillah.

Bayangkan keadaan tadi, alangkah seronoknya jika duit bukan lagi masalah utama kita. Kita hidup dalam masalah adalah kerana 50% daripadanya disebabkan oleh duit. Tiada siapa yang boleh menyangkal kenyataan itu. Bagaimana pun kita dalihkan namun hakikatnya duitlah punca segala permasalahan.

Setiap detik waktu kita peruntukkan untuk memikirkan bagaimana hendak mencari duit. Namun tahukah kita pemikiran kita selalu mengundang padah, dimana semakin kita memikirkan tentang duit,, semakin jauh rasanya duit itu daripada kita.

Kegusaran, ketakutan, kegelisahan, kerisauan, semua itu hadir bersama apabila kita memikirkan tentang duit. Kita suka duit, tapi diwaktu yang sama kita marah pada duit, kita bercerita buruk tentangnya, kita kutuk dia, kita umpat keji dia. Perasaan yang bercampur baur ini mengakibatkan duit susah untuk menghampiri kita.

Seperti yang telah dinyatakan awal tadi, duit itu energy/tenaga. Kita juga adalah tenaga, untuk sesuatu tenaga itu saling berhubungan, ia memerlukan frekuensi atau getaran yang sama. Sama juga keadaannya dengan duit.

Bayangkan kita jadi duit, bila orang mencemuh kita, mengumpat kita, mengata kita, marah pada kita, takut pada kita, agak-agak kita nak tak berkawan atau tunggu lama dengan orang itu? Tentu sekali jawapannya tidak. Kita pastinya suka berada di tempat yang kita dihargai, di tempat yang kehadiran kita dinanti-nanti, di tempat yang kita selesa, betul tak? Jadi kita harus tahu bagaimana untuk melayan dan menghargai duit. Jangan marah padanya, jangan umpat keji caci dia, jangan tolak kehadirannya, hanya kerana kita tidak memilikinya. Manusia itu hipokrit, mereka akan membuat seribu alasan kerana tidak mampu mendapatkan apa yang mereka hendak.

Aku tak suka banyak duit, nanti jadi boros. Aku tak suka banyak duit nanti jadi lupa diri, riak, takabbur. Duit tu punca segala kejahatan, orang yang boros itu rakan syaitan.

Untuk memiliki duit yang banyak, kita sepatutnya suka pada duit, suka menjadi orang yang banyak duit (rang kaya), suka memiliki duit yang banyak. Bila kita suka pada duit maka duit akan datang dengan berlimpah ruah, percayalah. Samalah macam kita juga, bila orang suka pada kita nescaya kita suka hadir di tempat tersebut. Ingat duit adalah energy/tenaga. Ia akan hadir di tempat yang mengeluarkan frekuensi yang sama dengan frekuensi duit itu sendiri. Apa frekuensi duit ? Frekuensi duit ialah frekuensi rasa suka dan sayang pada duit, semua rasa +ve tentang duit, semua sangkaan baik terhadap duit, maka percayalah dan yakinlah anda akan menguasai duit.

Duit akan hadir macam sungai yang mengalir dibelakang rumah anda, bila-bila perlu ceduk sahaja airnya dan gunakan. Ketika itu, jangan lupa bersyukur dan panjang-panjangkan lah sedekah agar duit tidak putus hadir dalam hidup anda. Lebih banyak anda memberi lebih banyak ia datang, ingat duit adalah energy/tenaga, ia suka pada kebaikan, buat banyak-banyak kebaikan dengan duit lebih laju sungai anda mengalir.

Jadi betulkan perspektif anda tentang duit. Untuk dapat duit, suka duit, banyakkan memberi dan banyakkan bersyukur. Lakukan dan lihat keajaibannya.

Artikel ini ditulis oleh Puan Hajjah Arina Abbas. Beliau merupakan Moderator Evolusi Minda, iaitu badan yang menjalankan latihan dan memberi kursus serta seminar berkaitan kuasa minda.

No comments: